Belia Digalak Sertai RELA, Jaga Keamanan Dan Keselamatan Masyarakat Setempat

AHAD, 1 OGOS 2021

MIRI: Sumbangan dan jasa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam masyarakat amat dihargai terutama dalam masa pandemik COVID-19. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin berkata, peranan anggota RELA sama seperti pasukan keselamatan lain yang menjaga keselamatan masyarakat dan ini termasuk mengurangkan kadar jenayah. 

“Golongan belia sangat digalakkan menyertai pasukan RELA di kawasan masing-masing untuk sama-sama membantu menjaga keselamatan dan keamanan masyarakat setempat.

“Ini adalah salah satu cara untuk kita bekerjasama dan memberikan sokongan kepada polis dalam tugasan mereka di setiap zon yang terdapat di bandar ini.

“Ketika ini semua kawasan kediaman di Miri telah ditubuhkan pasukan RELA bagi membantu pihak berkuasa menjaga keamanan,” katanya.

Katanya semasa berucap dalam majlis penyerahan sumbangan bahan keperluan makanan dan peralatan kesihatan Program Ziarah UKAS di Dewan SUPP Cawangan Senadin Miri pada Sabtu. 

Seramai 50 orang anggota RELA Permyjaya menerima bantuan ini sebagai penghargaan kepada perkhidmatan yang diberikan sepanjang pandemik COVID-19. 

Datuk Lee yang juga Menteri Bertanggungjawab  Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dan Menteri Pengangkutan Sarawak turut mengingatkan setiap anggota RELA dan orang ramai agar terus berhati-hati dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menyekat penularan wabak COVID-19 yang masih ketika ini. 

Hadir sama Pemanca Abang Mohamed, Penghulu Nasir Rahim dan Ketua Rela Permyjaya Miri Hiung Chien Yi. -EDISI UKAS