MBKS Dan DBKU Bakal Miliki Pusat Umum Digital Sendiri

AHAD, 1 OGOS 2021

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Utara (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bakal memiliki pusat umum digital untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pusat umum digital ini akan dihubungkan dengan pusat umum digital negeri yang terdapat di Baitul Makmur 2.

“Ini bermakna mereka akan menghubungkan pertukaran maklumat antara pihak berkuasa tempatan dan juga pusat umum digital negeri.

“Dan segala kelemahan yang berlaku di kedua-dua pihak dapat diperbaiki dan akan dimaklumi oleh kementerian masing-masing untuk memperbaiki sekiranya terdapat kelemahan-kelemahan yang kita beri setakat ini.l,” ujar beliau semasa berucap dalam Majlis Hari Bandaraya Kuching ke-33 di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Ahad.

Tema Sambutan Hari Bandaraya Kuching ke-33 iaitu Transformasi Digital ke Arah Membentuk Bandaraya Kuching Pintar adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Sarawak maju pada tahun 2030.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Ketua Menteri mengambil contoh pandemik COVID-19, dia mengatakan banyak kawasan di bandar menghadapi masalah pengumpulan sampah kerana beberapa kakitangan di Trienekens menjalani kuarantin kendiri.

“Seperti yang umum tahu, semasa pandemik COVID-19 kita mempunyai masalah pengambilan sisa-sisa buangan kerana beberapa kakitangan di syarikat Trienekens didapati positif COVID-19.

“Dan ini telah memberi kesan kepada perkhidmatan dari segi untuk memungut segala sisa-sisa buangan.

“Jadi kalaulah ini berlaku kita tahu bahawa kita mempunyai proses mengenal pasti masalah  bermakna kita dah boleh mewujudkan alternatif dari segi perkhidmatan yang dikehendaki oleh rakyat,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga telah meluluskan satu kawasan di DBKU untuk kelestarian alam semula jadi bagi memberi suasana hijau dan memperindahkan jalan-jalan utama di kawasan berkenaan.

Untuk itu, Datuk Patinggi mengucapkan tahniah kepada DBKU dan MBKS dan menyeru agar kedua dua pihak sentiasa  bergerak seiring dan pantas bagi mencapai status bandaraya pintar menjelang 2022.-EDISI UKAS