AHAD, 1 OGOS 2021
KUCHING : Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam kenyataan medianya pada Ahad memaklumkan bahawa sehingga 31 Julai 2021, Sarawak telah mencapai liputan imunisasi COVID-19 yang tinggi di kalangan populasi dewasa yang layak iaitu sebanyak 86.7 peratus bagi dos pertama dan 66.6 peratus bagi dos kedua.
Menurut kenyataan itu, menjelang akhir bulan Ogos 2021, dijangka lebih daripada 70 peratus daripada populasi Sarawak akan menerima imunisasi COVID-19 yang lengkap setelah memberi impak positif terhadap bilangan kes baharu yang dikesan serta kadar kematian akibat jangkitan COVID-19.
Dimaklumkan, bilangan kes COVID-19 yang memerlukan pemantauan dan rawatan rapi di hospital juga telah berkurangan susulan peningkatan mendadak liputan imunisasi COVID-19 di Sarawak sejak Jun 2021.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang masih belum mendapatkan dos pertama vaksin atau belum menerima temujanji imunisasi COVID-19, disarankan untuk segera menghubungi Pejabat Residen, Daerah, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mahupun Klinik Kesihatan berhampiran atau menerima imunisasi COVID-19 secara hadir terus.
Tambah kenyataan sama, penjarakan fizikal dan pengamalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan masih perlu dipatuhi memandangkan ia sudah diterapkan sebagai norma baharu kepada masyarakat.
Justeru, orang ramai yang mengalami gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, sukar bernafas atau mengalami kelesuan, sakit badan, cirit-birit, muntah dan lain-lain, dinasihatkan untuk segera mendapatkan saringan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat. -EDISI UKAS