Program Ziarah UKAS : Penduduk Di DUN Pantai Damai Terima Sumbangan

AHAD, 1 OGOS 2021

KUCHING : Individu yang tersenarai dari 43 buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai menerima bantuan sumbangan bersempena Program Ziarah UKAS anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pada Sabtu.

Sumbangan berupa bekalan makanan asas, pelitup muka dan cecair pembersih tangan itu disampaikan secara simbolik oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, kepada wakil penerima bertempat di Dewan Rampangi Fasa 1.

Antara penerima terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan, warga emas mahupun Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah ditetapkan oleh setiap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk yang telah dikenalpasti oleh pihak UKAS sendiri. 

Datuk Dr Abdul Rahman ketika ditemubual mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada UKAS serta kerajaan negeri di atas usaha dan keprihatinan membantu penduduk ketika dunia berdepan kesukaran akibat pandemik COVID-19 ketika ini.

“Ini adalah satu usaha yang dilakukan pihak kerajaan Sarawak melalui UKAS untik menyampaikan bantuan makanan asas kepada golongan yang memerlukan bantuan”

“Jadi pihak UKAS di kawasan DUN Pantai Damai telah mengenalpasti seramai 200 orang penerima, dan yang lainnya akan disampaikan oleh petugas, sukarelawan termasuk JKKK di semua 43 kampung dan taman perumahan di kawasan DUN ini,” katanya kepada media selepas menyempurnakan simbolik penyampaian.

Hadir sama, Penghulu Amat Amin, Penghulu Robin Jimbai, Penghulu Chien, Kapitan Robert Lee dan Ketua Kaum Julaihi. -EDISI UKAS