ISNIN, 2 OGOS 2021
KUCHING: Sebanyak 20 syarikat pemula tempatan telah dipilih untuk menyertai program Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) ‘Pre-Accelerator Bootcamp’ 2021 yang bermula dari 1 hingga 7 Ogos 2021.
Syarikat-syarikat tersebut adalah CLIFTON FOOD ASIA, Borneo Scarves, THE MARKET, SnappEd, Kompia House, GoPasar, Kiyoomi Enterprise, Fixcolab, Seed, Moredoor Interactive Sdn. Bhd., Cloud Design Studio, TravGether, Flibz, YCollection, HEADSTREAM, Blankskript Consultants Sdn. Bhd., Ben Raz Millions Resources Sdn. Bhd., FarmforAll Enterprise, WAT Academy dan Icarus GrowthLab (IGL).
Pengerusi TEGAS, Datu Len Talif Salleh berkata, program TEGAS ‘Pre-Accelerator Bootcamp’ (TPAB) ini merupakan program bimbingan satu minggu yang direka khas untuk membawa perniagaan atau syarikat pemula (startup) peringkat awal untuk berkembang ke peringkat yang selanjutnya dan ianya bermula daripada mengesahkan idea sehinggalah mencipta ‘minimum viable product’ (MVP) serta strategi ‘go-to-market’.
Beliau yang juga Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar menambah, program tersebut bertujuan membantu mempercepatkan pertumbuhan syarikat pemula dan perusahaan sosial sekaligus membantu dalam memacu inovasi digital dan keusahawanan di Sarawak.
“Menjelang tahun keempat dalam mengendalikan program ini, kami percaya program ini berfungsi sebagai satu platform yang baik untuk para usahawan muda di Sarawak dalam menyusun dan mengesahkan idea inovatif mereka sebelum diniagakan ke pasaran.
“Program ini turut disokong oleh rakan ekosistem TEGAS iaitu Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Malaysian Global Innovation Innovation & Creativity Centre (MaGIC), FutureLab, Amazon Web Services, GRAB dan Borneo Digital,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Selain itu, Datu Len Talif memberitahu, para peserta akan dipersiapkan untuk ‘Demo Day’ secara maya bagi memilih tiga peserta terbaik yang berpeluang untuk membentangkan idea mereka kepada pelabur pemula serta mendapatkan laluan hijau untuk menyertai program TEGAS Startup Lab, TEGAS Social Impact Accelerator dan Sarawak Shell LiveWIRE.
“Pemenang ‘Demo Day’ juga akan menerima hadiah yang merangkumi sokongan pendaftaran syarikat daripada TEGAS, akses enam bulan ke platform mentor FutureLab, bantuan percuma daripada rakan ekosistem dan akses percuma selama tiga bulan di TEGAS Digital Innovation Hub di Kuching, Bintulu dan Miri.
“TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp 2021 dibuka untuk kesemua syarikat pemula dan perusahaan sosial dengan sekurang-kurangnya seorang pengasas dari Sarawak,” jelasnya.
Antara mentor yang terlibat bersama dalam menjalankan program ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif FutureLab, Brian Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama Biji -Biji Inisiatif dan Me.reka, Rashvin Pal Singh, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama RunCloud, Arif Tukiman, Pengasas Mindswitch, Zaharah Malim, Pengarah Urusan CentaCube, Sharifah Rafidah, Presiden Persatuan FinTech Malaysia, Karen Puah, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif pitchIN, Sam Shafie, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama TheLorry, Nadhir Ashafiq, Pengasas bersama Fave, Yeoh Chen Chow, Pengasas bersama Borneo Digital, AR Mohd. dan Ketua Pegawai Produk Kumpulan Aerodyne, Razwan Zakaria. –EDISI UKAS