ISNIN, 2 OGOS 2021
KUCHING : Seramai 254 lagi individu telah lengkap menerima dos kedua vaksin COVID-19 jenis Sinovac bertempat di perkarangan padang bola keranjang Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 10, pada Sabtu.
Program imunisasi anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Kuching itu telah dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang bagi meninjau kelancaran program imunisasi berkenaan selain memastikan penduduk di kawasannya telah menerima vaksin secara amnya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Padawan mengucapkan terima kasih di atas kerjasama pelbagai pihak yang turut sama membantu bagi kelancaran proses program imunisasi tersebut.
Sementara itu, KKM Bahagian Kuching turut memaklumkan bahawa terdapat sebilangan penduduk di kawasan Paya Mebi, Kampung Landeh, Kampung Sebuak dan Kampung Betong tidak hadir bagi menerima vaksin kerana telah diarahkan untuk menjalani kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 29 Julai yang lalu.
Sehubungan dengan itu, KKM terpaksa mengubah jadual temujanji ke tarikh yang baharu supaya mereka dapat divaksinasi setelah habis tempoh perintah kuarantin. – EDISI UKAS