Sarawak Fokus Tawar Akses Kewangan Secara Efektif, Efisien Kepada Rakyat

SELASA, 3 JULAI 2021

KUCHING: Keperluan terhadap perkhidmatan kewangan di Sarawak dijangka akan terus meningkat selari dengan pembangunan pesat ekonomi negeri ini.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, keperluan dalam menyediakan infrastruktur yang baik akan terus diutamakan supaya institusi kewangan dapat terus menawarkan servis ke seluruh pelusuk negeri dan menawarkan perkhidmatan kewangan yang lebih efektif dan efisien.

Katanya, dalam menyediakan akses kewangan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat, Kerajaan Negeri telah menyediakan bank bergerak atau ‘Mobile ATM’ yang dilancarkan pada Mei lalu.

“Pada bulan Mei yang lalu, kita telah berjaya melancarkan bank bergerak ‘Mobile ATM’ yang diusahakan khas untuk penduduk di kawasan luar bandar.

“Usaha sama antara kerajaan negeri, Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan akhirnya berjaya merealisasikan impian penduduk luar bandar untuk mendapatkan akses kepada perbankan dengan lebih cepat dan kondusif,” katanya berucap dalam perasmian Kempen Kesedaran Kewangan Sarawak 2021 (ViSFA) secara maya pada Selasa.

Ketua Menteri turut menyeru institusi kewangan untuk menawarkan lebih banyak solusi inovatif dari segi produk dan servis yang ditawarkan dan saluran perkhidmatan supaya agenda keterangkuman kewangan dapat dinikmati oleh rakyat di negeri ini.

Dalam hal ini, beliau mengalu-alukan produk kewangan, Perlindungan Tenang yang menyediakan pelan insurans dan Takaful mampu milik seperti pelan insurans kebakaran rumah kampung dan rumah panjang supaya penduduk dapat melindungi aset kewangan dan orang-orang tersayang.

“Melalui Perlindungan Tenang, semua golongan rakyat kini boleh membeli atau menyertai pelan perlindungan yang mampu dan mudah difahami, dengan proses tuntutan yang senang dan ringkas.

“Untuk menggalakkan penyertaan rakyat di dalam produk Perlindungan Tenang ini, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan insentif Baucar Perlindungan Tenang RM50 untuk B40 dan pengecualian duti setem untuk pembelian produk Perlindungan Tenang selama lima tahun hingga 2025 pada Bajet 2021 yang lepas,” katanya.

Kempen Kesedaran Kewangan Sarawak 2021 (ViSFA) dianjurkan dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran kepada pengguna kewangan mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan perkhidmatan kewangan dan kesejahteraan pengguna secara menyeluruh.

Kempen yang julung kali diadakan ini adalah usaha kolaborasi di antara agensi kerajaan, persatuan industri dan entiti swasta dan akan berlangsung selama tiga bulan bermula pada 3 Ogos 2021 hingga 5 Oktober 2021. – EDISI UKAS