4 Alasan Proklamasi Darurat Di Sarawak, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (Sarawak) 2021 Suatu Perintah Baharu

RABU, 4 OGOS 2021

KUCHING: Pengisytiharan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (Sarawak) 2021 oleh Yang di-Pertuan Agong dibuat berdasarkan kepada empat alasan.

Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, empat alasan ini membolehkan Proklamasi Darurat dibuat di Sarawak mulai 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022.

“Pertama, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam oleh wabak.

“Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun 2021 dan seterusnya 2 Ogos 2021 menurut Artikel 21(3) Perlembagaan Negeri tetapi fasal ini ditangguhkan oleh Seksyen 3 (l) Darurat semasa (Kuasa Esensial) (Sarawak) Ordinan 2021.

“Ketiga, Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (Sarawak) 2021 yang berlaku pada 2 Ogos 2021 apabila Pilihan Raya Negeri akan berlangsung dalam waktu 60 hari berdasarkan Artikel 21 (4) Perlembagaan Negara.

“Keempat, di bawah Artikel 150 (1) Perlembagaan Persekutuan, Proklamasi Darurat dikeluarkan untuk menangguhkan Pemilihan Umum kerana wabak tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Proklamasi Darurat (Sarawak) dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) Sarawak 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.

Jelasnya lagi, Proklamasi Darurat (Sarawak) menyatakan bahawa Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (Sarawak) 2021 berdasarkan kepada Artikel 150 (1) dan Artikel 150 (28) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Datuk Amar Mohd Asfia juga menambah, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (Sarawak) 2021 ini bukan perbezaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) 2021 tetapi ini adalah suatu perintah baru yang dibuat khas untuk Sarawak.

Dalam Operasi Pengisytiharan Darurat (Sarawak) Yang di-Pertuan Agong hendaklah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Pengisytiharan Darurat (Sarawak) boleh ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Di bawah Seksyen 3(1), selama keadaan darurat berkuatkuasa, peruntukan fasal (3) Pasal 21 Perlembagaan Negeri Sarawak bahawa Dewan Undangan Negeri dibubarkan setelah lima (5) tahun dari persidangan pertamanya, hendaklah tidak mempunyai kesan,” tambahnya.

Hadir sama Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Gerawat Gala.-EDISI UKAS