Insentif Khas dan Pemberian Elaun Kepada Atlet Para Sarawak Yang Mewakili Malaysia Ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020

RABU, 4 OGOS 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyediakan insentif khas kepada atlet para negeri ini sekiranya mereka berjaya membawa pulang pingat kemenangan di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung pada 24 Ogos sehingga 5 September depan.

Berita gembira itu diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerusi Amanat Khas beliau kepada lima atlet para Sarawak bersama seorang jurulatih yang mewakili Malaysia ke temasya sukan tersebut melalui aplikasi Zoom dan disiarkan secara langsung di laman Facebook dan Youtube rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Menteri turut mempertimbangkan mengenai pemberian elaun sebanyak RM10,000 setiap seorang, sebagai bekalan mereka sepanjang berlangsungnya pertandingan di peringkat dunia itu.

“Kita boleh pertimbangkanlah menambah elaun untuk mereka pergi ke sana, mungkin kita beri RM10,000 untuk seorang atlet”

“Kepada mereka yang membawa balik pingat kemenangan kelak, kita akan bincangkan mengenai insentif khas setelah mereka pulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri juga yakin serta percaya, dengan komitmen latihan yang berterusan serta tumpuan sepenuhnya, kelima-lima atlet berkenaan pasti mampu mencipta kejutan buat Malaysia dan Sarawak khususnya.

“Saya yakin dan percaya dengan latihan yang berterusan dan fokus, mereka akan dapat menumpukan pertandingan ini dalam suasana yang baik. Tahniah dan syabas, mudah-mudahan peroleh kemenangan kelak,” jelasnya.

Antara atlet para Sarawak yang akan beradu nasib bersama-sama kontinjen negara kelak ialah dua atlet Para Powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin (72kg ke bawah) dan Jong Yee Khie (107kg ke bawah).

Di samping itu, dua atlet Para Renang, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (S5/50m gaya bebas,100m gaya bebas,200m gaya bebas,100m kuak dada) dan Jamery Siga (S5/50m kupu-kupu).

Manakala, atlet Para Archery, Wiro Juli akan berentap dalam acara memanah (Compound).

Turut serta mengiringi atlet-atlet berkenaan, Jurulatih Powerlifting Malaysia, Jamil Adam.

Majlis Amanat Khas berkenaan juga dihadiri oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis. -EDISI UKAS