Transmisi Jangkitan Di Kalangan Komuniti Pergiatkan Aktiviti Pencegahan COVID-19 Di Kuching, Samarahan Dan Serian

RABU, 4 OGOS 2021

KUCHING : Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam kenyataan medianya pada Selasa memaklumkan bahawa aktiviti pencegahan, kawalan dan saringan COVID-19 akan terus dipergiatkan di bahagian Kuching, Samarahan serta Serian.

Ini kerana masih terdapat transmisi jangkitan di kalangan komuniti susulan daripada aktiviti Pengesanan Kes Aktif (ACD) melalui saringan kontak kepada kes positif dan saringan bersasar di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 25 peratus daripada kes harian baru yang dilaporkan pada bulan Julai 2021 adalah melibatkan individu berumur di bawah 18 tahun yang mana belum layak menerima imunisasi COVID-19 dan amat berisiko terdedah kepada jangkitan serta komplikasi penyakit itu.

Oleh yang demikian, masyarakat di Sarawak diseru agar tidak leka dan patuhi saranan kesihatan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk kepada individu yang telah menerima imunisasi COVID-19,  bagi melindungi golongan yang tidak layak. -EDISI UKAS