KHAMIS, 5 OGOS 2021
KUCHING: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) melaksanakan inisiatif iaitu Dana Borneo Pitch @ Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah memberitahu, dana tersebut adalah bagi memudah cara pengurusan dan operasi menyalurkan dana untuk para penggiat seni di Sabah dan Sarawak.
“Mudah-mudahan ini akan meningkatkan lagi prestasi, produksi dan membantu terutamanya pada zaman pandemik COVID-19 ini supaya penggiat seni budaya dan industri kreatif kita ini boleh terus menjalankan tugas mereka, menghasilkan bahan yang bermutu tinggi, membangunkan modal insan dan menghasilkan harta intelek dalam kalangan penggiat dan pemain industri di Sabah dan Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Memorendum Persefahaman (MoU) Program Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri kreatif (PELAKSANA) Dana Kandungan Digital (DKD) antara FINAS bersama Sarawak Media Group (SMG) dan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Dana Borneo Pitch @ PRISMA secara maya menerusi aplikasi Zoom pada Khamis.
MOU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Suhaimi Sulaiman yang disaksikan oleh Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid dan Pengerusi SMG, Dato’ Norhyati Ismail.
Turut sama dalam majlis tersebut adalah Menteri Muda Hal Ehwal Korporat & Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol.
Dato’ Saifuddin berkata lagi, MoU tersebut bertujuan bagi merapatkan hubungan antara FINAS dan SMG Sdn. Bhd. untuk bekerjasama dalam pelbagai kategori projek seperti majalah, telemovie, drama bersiri dan hiburan.
Tambah beliau lagi, terdapat sembilan projek yang akan dilaksanakan dan sebahagiannya sudah mula dilaksanakan melibat perbelanjaan sebanyak RM 2.9 juta. -EDISI UKAS