Seramai 270 Individu Lengkap Dos kedua Di PPV Dewan Pembangunan Sebuyau

KHAMIS, 5 OGOS 2021

SEBUYAU : Seramai 270 lagi individu telah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Pembangunan Sebuyau pada Rabu.

Menerusi tinjauan UKAS, program yang bermula dari jam 8.00 pagi sehingga 4.00 petang itu berjalan dengan lancar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Kebanyakan penerima yang dijumpai menzahirkan rasa gembira dan syukur dengan peluang yang diberikan oleh kerajaan dalam mendapatkan vaksin percuma, disamping berpuas hati dengan perkhidmatan PPV yang selesa dan teratur.

Dalam pada itu, Pegawai Perubatan Menguasa Klinik Kesihatan Sebuyau selaku Ketua Penyelaras PPV Zon Sebuyau, Dr Mohd Ashahari Abdillah turut memaklumkan kepada penduduk kawasan yang masih belum menerima suntikan vaksin untuk datang terus ke Klinik Kesihatan Sebuyau atau Klinik Kesihatan Sebangan pada setiap hari bekerja. -EDISI UKAS