Demi Kesihatan Penduduk Setempat, Penduduk Penan Digesa Ambil Vaksin COVID-19

JUMAAT, 6 OGOS 2021

TELANG USAN: Masyarakat Penan digesa mengambil suntikan vaksin COVID-19 dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi melindungi kesihatan penduduk setempat. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, pengambilan vaksin COVID-19 ini perlu dalam kuantiti yang ramai bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dicapai bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.

“Kalau kamu sahaja yang mendapat suntikan vaksin COVID-19, penduduk di kampung tidak mendapat COVID-19, maka ia tidak akan menjadi. 

“Sebaliknya, jumlah mereka yang perlu mengambil vaksin COVID-19 mesti ramai khususnya mereka yang berumur 18 tahun. 

“Sedihnya, ada orang yang tidak pandai makan ubat, tetapi bercakap lebih pandai daripada doktor dengan memberitahu vaksin COVID-19 ini tidak bagus,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Ziarah UKAS di Pejabat Daerah Telang Usan pada Jumaat. 

Sebanyak 6 buah kampung Penan di Daerah Telang Usan iaitu Kampung Long Latei, Kampung Long Leng, Kampung Long Kevok, Kampung Long Jenalong, Kampung Long Urang dan Kampung Long Beluk menerima 50 kotak pelitup muka dan cecair pencuci tangan. 

Tambah Dennis lagi, penyerahan sumbangan pelitup muka dan cecair pencuci tangan amat bertepatan memandangkan kawasan Telang Usan khususnya di kawasan penempatan kaum Penan sangat terjejas teruk akibat penularan COVID-19.

Sementara itu, Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai menyifatkan Program Ziarah UKAS suatu program yang sangat baik khususnya dalam usaha memerangi penularan COVID-19.

“Penyampaian sumbangan berupa pelitup muka adalah bertepatan kerana penduduk kawasan pedalaman amat memerlukannya. 

“Pelitup muka ini bukan sahaja sukar diperolehi oleh kebanyakan penduduk pedalaman malah juga ramai yang tidak mampu memilikinya kerana harganya yang mahal,” katanya. 

Turut hadir Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Telang Usan SAO Nurhidayah Hasbullah. -EDISI UKAS