IPAKK Pastikan Keselamatan Kanak-Kanak Terjamin

JUMAAT,6 OGOS 2021

KUCHING : Kerajaan Sarawak amat prihatin dan mengambil berat tentang asuhan, bimbingan dan didikan yang berkualiti kepada anak-anak demi menentukan kesejahteraan, keselamatan dan perkembangan menyeluruh diutamakan.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah, bagi memastikan keselamatan semua pihak sentiasa terjamin sepanjang tempoh pandemik COVID-19 ini, pelbagai cabaran perlu ditangani pihak Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) semasa pengoperasiannya.

“Kita sentiasa pantau anak-anak semasa berada di TASKA mahupun TADIKA, namun cabaran yang dihadapi adalah apabila mereka berada di luar seperti dirumah mahupun berada dalam komuniti”

“Untuk itu kami sentiasa mengingati ibu bapa atau penjaga untuk mengamalkan SOP dimana sahaja berada dan sekiranya anak-anak didapati bergejala, mereka tidak dibenarkan masuk,” jelasnya semasa ditemubual media selepas merasmikan Penyerahan Plaque dan Perakuan Pendaftaran Taska Bedaftar serta Program Penyerahan Geran Tahunan Khas (GTK) bertempat di Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) Pondok Ilmu No.2, Kuching pada Jumaat.

Mengulas lanjut, jelasnya kakitangan IPAKK juga telah mendapat keutamaan untuk divaksinasi iaitu dengan menyenaraikan nama kakitangan melalui persatuan dan agensi masing-masing samada di bawah swasta mahupun kerajaan, sebelum dihantar untuk permohonan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk divaksin.

“Apa yang kita lakukan adalah kita dapatkan nama setiap kakitangan dari persatuan dan agensi dibawah swasta atau kerajaan, dan kita hantar ke Jawatankuasa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disetiap bahagian,” tambahnya. -EDISI UKAS