ADUN Kuala Rajang Salur Bantuan Pendidikan Kepada 24 Pelajar

SABTU, 7 OGOS 2021

TANJONG MANIS: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh pada Jumaat telah menyerahkan bantuan pendidikan kepada seramai 24 orang pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi setelah mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Zon Tanjong Manis.

Bantuan berupa RM300 bagi peringkat sijil, RM400 bagi diploma dan RM500 bagi ijazah itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan ibu bapa dalam menampung keperluan anak-anak mereka untuk melanjutkan pelajaran.

Mana-mana mereka yang akan mendapat tawaran melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi selepas ini juga boleh memohon kerana bantuan ini tidak menghadkan tarikh bagi mereka yang berjaya.

Sejak 10 lepas sehingga sekarang, seramai 1584 pelajar telah mendapat manfaat bantuan dari Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM664,800.

Inisiatif ini merupakan salah satu komitmen Datu Len bagi membantu pelajar cemerlang dan kurang bernasib baik untuk mendaftar di IPTA dan IPTS sekaligus membela nasib mereka melalui pendidikan.

Beliau juga mendoakan semua pelajar di Kuala Rajang terus cemerlang dan berjaya mengharungi bidang yang diceburi. – EDISI UKAS