SABTU, 7 OGOS 2021
KOTA SAMARAHAN: Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Samarahan melaksanakan hebahan ‘Info On Wheel’ bagi memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kepada penduduk di Kampung Empila, Kota Samarahan pada Jumaat.
Hebahan umum itu disampaikan menggunakan kenderaan Unit Bergerak JAPEN Daerah Samarahan dan antara hebahan yang disampaikan adalah memaklumkan supaya penduduk dikehendaki berada di rumah masing-masing dan tidak dibenarkan keluar bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Selain itu dimaklumkan juga pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan akan membuat Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) kepada penduduk Kampung Empila.
Mereka dikehendaki menjalani ujian saringan pada 7 dan 8 Ogos 2021 bermula dari pukul 9 pagi sehingga 4 petang di perkarangan Masjid As-Sobirin Kampung Empila, Kota Samarahan.
Penduduk yang telah diarahkan menjalani kuarantin diminta untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing dan tidak dibenarkan keluar dari rumah.
Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah menetapkan semua penduduk Kampung Empila, Kota Samarahan menjalani PKPD bermula dari 7 hingga 20 Ogos 2021. -EDISI UKAS