SUFC Libas Kelantan FC Untuk Kembali Lakar Kemenangan

SABTU, 7 OGOS 2021

KUCHING: Sarawak United FC (SUFC) kembali berada di landasan kemenangan dalam kempen Liga Premier 2021 selepas melakar kemenangan bergaya 3-1 ke atas Kelantan FC dalam aksi berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Sabtu.

Tuan rumah memanfaat sepenuhnya peluang beraksi di laman sendiri dengan memperaga aksi serangan pantas sebaik wisel dibunyikan.

Anak didik Elavarasan Elangowan tidak menunggu untuk membimbing perlawanan selepas ayam tambatannya, Uche Agba berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit kelima selepas bola tertampan tangan pertahanan Kelantan FC.

SUFC terus garang dengan menambah gol kedua hasil tandukan cantik Taylor Francis George Regan pada minit ke-11.

Kelantan FC bagaimanapun berjaya merapatkan jurang selepas dihadiahkan sepakan penalti dan disempurnakan Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-32.

Uche memastikan tiga mata menjadi milik SUFC selepas menjaringkan gol ketiga pada minit ke-69 hasil permainan cantik satu dua dengan Changhon Lee.

Kemenangan itu membolehkan SUFC mengumpul 27 mata untuk berada di kedudukan ketiga selepas mengharungi 13 perlawanan setakat ini.

SUFC akan melayan kunjungan Selangor II di venue sama pada 10 Ogos ini. – EDISI UKAS