Dato Sri Nancy Shukri Lawat Projek-Projek Siap Di Parlimen Batang Sadong

AHAD, 8 OGOS 2021

SIMUNJAN: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri meninjau beberapa projek siap di kawasan Parlimen berkenaan pada Ahad.

Antara projek tersebut ialah pembangunan Surau Sekolah Kebangsaan (SK) Samalatong di Ulu Simunjan yang bernilai RM20,000 di bawah peruntukan khas iaitu Projek Mesra Rakyat (PMR) yang memanfaatkan seramai 50 murid di sekolah berkenaan.

Satu lagi projek siap yang dilawati Dato Sri Nancy ialah pembangunan Dewan Kampung Sungai Semabang Gedong di bawah peruntukan PMR.

Dato Sri Nancy turut menyerahkan cek bagi Projek Kecil Luar Bandar iaitu Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kepayang String yang diwakili oleh Ketua Masyarakat, Joseph Nayu Ali.

Tambahnya, di Kampung Kepayang sahaja, terdapat tiga rumah dibaiki di bawah peruntukan MRP-PPRMS dengan dana sebanyak RM36,000.

“Meskipun kita berdepan dengan cabaran penularan pandemik COVID-19, kita masih berkhidmat untuk rakyat, sebab itulah hari ini, saya tetap menjalankan tugas seperti biasa dan mengikuti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Untuk tahun ini, sebanyak 51 rumah di seluruh Parlimen Batang Sadong milik golongan kurang berkemampuan, miskin tegar, daif dan golongan kurang upaya (OKU) akan dibaiki atau ditambahbaik menerusi peruntukan kerajaan Sarawak di bawah MRP-PPRMS,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 150 rumah di DUN N24 Sadong Jaya, N25 Simunjan dan N26 Gedong di bawah Parlimen Batang Sadong telah dibaik pulih sejak 2020. -EDISI UKAS