AHAD, 8 OGOS 2021
MIRI: Insiden paip Pecah di kawasan Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo telah mengakibatkan beberapa kawasan di Daerah Subis dan Beluru meliputi Bukit Song, Bekenu, Bukit Peninjau, dan Beluru Fasa 2 hingga ke kawasan pesisir Pantai Beluru mengalami gangguan paip pecah.
Jabatan Bekalan Air Bersih Luar Bandar (JBALB) dalam kenyataan media pada Ahad berkata, pihak kontraktor Lebuhraya Pan Borneo telah dimaklumkan agar kerja-kerja baik pulih dijalankan dengan segera bagi mengelakkan ketiadaan bekalan air yang berpanjangan di kawasan yang terjejas.
“Kerja-kerja baik pulih telah selesai dijalankan pada jam 2 pagi tadi.
“Bekalan air di kawasan yang terjejas akan kembali pulih seperti sediakala secara beperingkat manakala kawasan yang berada di titik hujung (end point) dan di kawasan yang berbukit berkemungkinan akan mengambil masa yang lebih lama untuk kembali pulih,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, pihak teknikal JBALB Bahagian Miri telah mengesan dua lagi kebocoran paip berdekatan dengan simpang Marudi.
“Saluran paip milik JBALB bahagian Miri didapati sering pecah dan mengalami kebocoran akibat kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.
“Pihak JBALB Bahagian Miri akan melakukan penghantaran bekalan air ke kawasan yang terjejas bagi memastikan para pengguna dapat melakukan aktiviti harian mereka sehingga kerja- kerja baikpulih selesai dijalankan oleh pihak kontraktor Lebuhraya Pan Borneo,” tambah kenyataan itu lagi.
JBALB Sarawak dan Lebuh Raya Pan Borneo akan saling bekerjasama untuk menangani isu ini.
Segala perkembangan terkini akan sentiasa dimaklumkan kepada pengguna menerusi platform sosial media JBALB Sarawak.
Pengguna juga boleh menghubungi JBALB Call Centre di talian 082-262211 atau menghubungi pegawai seranta JBALB Jurutera Air Bahagian Miri Fadil Kawi di talian 014-8820032 dan Penolong Jurutera Air Bahagian Miri Claira di talian 013-5660173 atau Pegawai Komunikasi Korporat Wilayah Utara Jennyvee Jenai di talian 012-8991957. -EDISI UKAS