ADUN Tarat Rasmi Dewan Serbaguna Kampung Rayang, Sampaikan Cek MRP Kepada 14 Penerima

ISNIN, 9 OGOS 2021

SERIAN : Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn telah merasmikan Dewan Serbaguna Kampung Rayang, pada Ahad.

Majlis anjuran Pusat Khidmat ADUN Tarat itu  telah diadakan dengan kehadiran seramai 30 orang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam majlis itu, Datuk Roland turut menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM162,000 kepada 14 para penerima yang tersenarai .

Antaranya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Munggu Kopi bagi Dana Biro Kebajikan berjumlah RM5,000; Persatuan Keluarga Astakona berjumlah RM 5,000; Jawatankuasa Masjid Darul Amaliah Kampung Tanah Puteh bagi membina pintu pagar dewan dan tiang bendera berjumlah RM 7,000; Persatuan Bola Sepak Kampung Tanah Puteh berjumlah RM10,000; Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Rayang bagi Program Kecemerlangan Kokurikulum berjumlah RM10,000 dan Saberkas Kampung Rayang berjumlah RM 10,000.

Selain itu, turut menerima cek adalah Ahli Jawatankuasa Kampung Sebemban berjumlah RM10,000; JKKK Kampung Munggu Kopi bagi membina bilik gerakan berjumlah RM 10,000; KGK Gereja Katolik St Sylvester Kampung Sebemban bagi membiayai pelbagai aktiviti gereja berjumlah RM10,000; JKKK Kampung Ampungan berjumlah RM10,000; Jawatankuasa Masjid Darul Amaliah Kampung Tanah Puteh bagi membina tandas dan gerbang kampung berjumlah RM15,000; JKKK Kampung Sebemban bagi membina pintu gerbang berjumlah RM15,000; JKKK Kampung Sebangkui bagi menambahkan landskap Sungai Sebungkung berjumlah RM20,000 serta Platun RELA Kampung Ampungan bagi menyiapkan pondok RELA berjumlah RM25,000.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Rayang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana telah merealisasikan impian penduduk untuk memiliki Dewan Serbaguna yang besar dan selesa. -EDISI UKAS