Pengumuman PM Bagi Individu Yang Lengkap Divaksinasi Disambut Baik

ISNIN, 9 OGOS 2021

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kelonggaran bagi individu yang lengkap divaksin dan melancong dalam negeri menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, Perdana Menteri juga telah mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan turut membenarkan pelancongan domestik dalam negeri yang melibatkan inap desa dan hotel serta pemilik perniagaan perlu memastikan pelanggan menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 sebelum memasuki premis.

“Langkah berjaga-jaga sedemikian penting dan mesti dipatuhi untuk memastikan hanya pelanggan yang telah lengkap divaksinasi diberikan kebenaran.

“Kami menyokong sepenuhnya pembukaan semula hotel dan inap desa yang terpaksa ditutup ekoran daripada wabak COVID-19 menular dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan media pada Isnin.

Datuk Abdul Karim menambah, pengumuman tersebut turut melibatkan kelonggaran bagi kedai makan setelah lebih banyak aktiviti dibenarkan untuk individu yang telah lengkap divaksin di negeri yang beralih ke PPN Fasa 2 atau Fasa 3.

“Impak kepada perkara tersebut memberikan kesan positif kepada pekerja tempatan dalam memperoleh pekerjaan dan ianya akan menyumbang kepada peningkatan ekonomi domestik.

“Manakala, kelonggaran aktiviti rekreasi dan sukan tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat akan membolehkan peningkatan gaya hidup sihat di kalangan rakyat.

“Walaupun kelonggaran hanya terhad kepada sukan seperti berjoging, berbasikal, bermain skateboard, memancing, golf, tenis dan badminton ia masih bagus berita kepada masyarakat kita terutama di kalangan belia yang harus didorong untuk turut serta dalam gaya hidup aktif,” jelasnya.

Tambah Datuk Abdul Karim, pengumuman tersebut adalah permulaan yang baik bagi negara ini untuk meneruskan kehidupan seharian seperti sedia kala dan terus menyokong usaha kerajaan dalam membendung pandemik COVID-19. –EDISI UKAS