Rumah Gerinang Berpotensi Dilaksanakan Skim Penanaman Kelapa Secara Berkelompok

ISNIN, 9 OGOS 2021

MARUDI: Rumah Gerinang berpotensi untuk dilaksanakan Skim Penanaman Kelapa Secara Berkelompok dengan tanahnya yang sesuai dan mempunyai kemudahan awam. 

Menurut Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Gerawat Gala, ini kerana keadaan tanahnya yang rata dan terletak di tebing sungai. 

“Apabila pembinaan jalan yang telah dirancang sebelum ini siap kelak ianya juga akan membuka peluang kepada penduduk memudahkan pemasaran hasil tangkapan mereka ke Pekan Marudi,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam lawatan kerja ke Rumah Gerinang Logan Tasong Marudi pada Sabtu. 

Menariknya rumah panjang ini ialah penduduknya menikmati kemudahan elektrik 24 jam secara percuma melalui sumber tenaga solar menerusi Projek Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) yang merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak. 

Pada majlis itu, Dato Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu telah menyempurkan simbolik penanaman tiang utama rumah serbaguna bagi penyimpanan barangan penduduk. 

Turut diumumkan geran berjumlah RM3,000 untuk membeli enjin pam air dan RM2,000 untuk kegunaan SIDS Unit Rumah Gerinang membeli kipas ruai. 

Beliau juga mengumumkan kelulusan geran Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM500,000 membina jalan baru sepanjang 5.2 km dari Jalan Puyut Lubuk Nibung hingga ke rumah panjang ini. 

Hadir sama Pemanca Randie Ak Bundan, Penghulu Hilary Tawan Acai dan Kaunselor serta tuai rumah. -EDISI UKAS