PKPD: JKM Samarahan Agih Bakul Makanan Kepada Penduduk Kampung Empila

SELASA, 10 OGOS 2021

KOTA SAMARAHAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Samarahan menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Empila di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pada Isnin.

Bantuan tersebut bertujuan bagi meringankan beban penduduk semasa menjalani tempoh PKPD yang bermula pada 7 hingga 20 Ogos 2021.

Sebanyak 415 bakul makanan diserahkan secara simbolik oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Mohammed Yaakob Morshidi kepada Ketua Kaum Kampung Empila Hulu, Bojeng Ajid mewakili setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang melibatkan keseluruhan kira-kira 2,326 orang penduduk Kampung Empila.

Pada masa sama, pihak JKM Bahagian Samarahan menasihatkan penduduk Kampung Empila agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang mereka menjalani PKPD.

Pergerakan mereka juga sentiasa diawasi oleh pihak berkuasa supaya tiada sesiapa dibenarkan keluar dan masuk daripada kawasan larangan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Penduduk kampung tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada JKM Bahagian Samarahan dan kerajaan Sarawak di atas keprihatinan membekalkan bantuan bakul makanan. -EDISI UKAS