Masyarakat Penan Jangan Takut Ambil Vaksin COVID-19 Untuk Keselamatan Diri Dan Orang Lain

RABU, 11 OGOS 2021

TINJAR: Seramai 31 orang penduduk masyarakat Penan yang berumur 18 tahun dan ke atas di Long Liaw, Ulu Tinjar telah menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama jenis Sinovac. 

Ketua Kampung Bitang Sakai mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan terhadap kesihatan awam penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan kepada masyarakat Penan di kawasan Tinjar ini. 

“Kami akan mengikuti apa yang diarahkan kerajaan kerana kami tahu kerajaan berusaha melindungi penduduknya dengan kami masyarakat Penan adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menerima vaksin COVID-19 dalam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Vaksinasi Masyarakat Penan di Long Liaw, Tinjar pada Selasa. 

Mereka yang telah menerima vaksin COVID-19 dos pertama ini akan mendapatkan dos kedua pada 31 Ogos nanti.

Terdahulu, Ketua Sektor Pembangunan Kesihatan Keluarga, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri Dr Noor Izni Mohamed Shapie telah memberikan penerangan berkenaan penting dan perlunya mengambil vaksin COVID-19 ini. 

Mereka telah menggunakan pesawat Agusta AW139/9M-BOD milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berpangkalan di Miri bagi menjayakan Program Outreach Vaksinasi di Long Liaw ini. 

Bitang turut menggesa masyarakat Penan lain supaya jangan takut mengambil vaksin COVID-19 demi keselamatan diri sendiri, keluarga dan orang lain. 

“Kampung saya Long Liaw ini telah menerima suntikan vaksin COVID-19 dan berasa selamat daripada penularan wabak ini.

“Kepada masyarakat Penan lain janngan takut mengambil suntikan vaksin COVID-19 demi untuk kelangsungan hidup kita pada masa akan datang,” gesanya. 

Hadir sama Pegawai Daerah Beluru selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Beluru Alfred Geling Anak Ason dan Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Kecil Tinjar Marliney Igil. -EDISI UKAS