KHAMIS, 12 OGOS 2021
DARO: Balairaya Lama Semop akan digunakan sebagai pusat ibadah sementara penduduk di Kampung Semop sementara menunggu masjid baru dibina selepas Masjid Darul Al Amin musnah dalam kebakaran pada petang Rabu.
Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abdullah Saidol berkata pemilihan pusat ibadah sementara itu telah diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan bersama beberapa agensi termasuk JKKK dan pemimpin kampung pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop bagaimanapun berkata pusat ibadah sementara itu perlu dibaikpulih terlebih dahulu untuk keselesaan penduduk menjalani ibadah di situ kelak.
Menjelas kepada UKAS selepas meninjau tapak Masjid Darul Al Amin, Abdullah berkata setakat ini sebanyak RM20,000 telah berjaya dikumpul untuk kerja-kerja baik pulih pusat ibadah sementara itu.
Menurutnya, dana itu hasil sumbangan Pusat Khidmat DUN Semop, Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abd Wahab, ADUN Kuala Rajang Datu Len Talif Salleh dan syarikat SACOFA yang masing-masing menyumbang RM5000 kepada Tabung Bencana Jawatankuasa Masjid Darul Al Amin, Semop.
Mengulas lanjut, Abdullah mendedahkan pembinaan masjid baru Kampung Semop telah diluluskan Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada tahun lepas.
Bagaimanapun, pelaksanaan pembinaan masjid itu sedikit lewat kerana penyelesaian tapak tanah dan penguatkuasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tambah Abdullah.
“Tetapi saya juga dimaklumkan oleh YB Ahli Parlimen yang mengetuai jawatankuasa masjid ini bahawa tender untuk masjid baru akan dilakukan tidak lama lagi. Mungkin dalam keadaan begini, ia perlu disegerakan.
“Peruntukan daripada kerajaan ini telah disalurkan kepada Baitulmal yang akan menguruskan pembayaran kepada syarikat yang mungkin dipilih untuk membina masjid ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Semop, Kamri Harun amat berterima kasih kepada pelbagai agensi dan orang ramai yang menyumbang kepada Tabung Bencana Jawatankuasa Masjid Darul Al Amin. – EDISI UKAS