KHAMIS, 12 OGOS 2021
SIBU: Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi merangkap Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak, Dr Annuar Rapaee telah menyempurnakan majlis penyerahan Peranti Raspberry PI kepada 93 buah sekolah rendah bagi daerah Sibu di University College Of Technology Sarawak (UCTS) Sibu pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, penggunaan komputer dan pembelajaran digital dengan memilih Raspberry PI adalah sebagai platform yang paling terbaik untuk mendedahkan para pelajar di peringkat awal.
“Kita perlu menyedari pada masa kini untuk memastikan tidak ada jurang di kalangan pelajar kawasan bandar dan luar bandar bagi pengetahuan dalam bidang teknologi komputer.
“Pengetahuan komputer ini juga memberi fungsi kepada guru di mana mereka dapat menggunakannya untuk pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Guru Besar Bahagian Sibu, Sharkawi Hamdan merakamkan penghargaan kepada Dr Annuar atas pemberian komputer kepada semua sekolah rendah di daerah Sibu. – EDISI UKAS