Penyelesaian Pengoperasian, Perlesenan Dan Keselamatan Gas Perlu Diberikan Keutamaan

KHAMIS, 12 OGOS 2021

MIRI: Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Khirudin Drahman@Husaini dalam ucapan pembukaan dalam 1st Sarawak Hybrid Seminar On Gas Operation Management at Domestic, Commercial & Industrial Building berkata dua insiden letupan bangunan di City One Mega Mall, Kuching pada 4 Disember 2018 dan Premis Pejabat Hutan Wilayah Miri pada 6 Disember 2020 telah dijadikan asas kepada keperluan penyelesaian terhadap pengoperasian, perlesenan dan keselamatan gas di Sarawak.

Katanya, sepanjang proses tindakan operasi dan siasatan tersebut didapati bahawa permasalahan sentiasa dihadapi pihak berkuasa.

Stakeholder dalam sektor domestik, komersial dan industri tersalah rujukan dan ini menimbulkan kekeliruan kepada orang awam dalam penyampaian maklumat pengoperasian pepasangan gas di Sarawak. 

“Tiada pernyataan rasmi dalam “focal point” agensi bagi perlaksanaan sokongan perlesenan dalam pengoperasi pepasangan gas. 

“Tiada garis panduan jelas kepada pengguna dalam pengoperasian, perlesenan dan keselamatan gas di Sarawak,” katanya semasa berucap dalam Perasmian 1st Sarawak Hybrid Seminar On Gas Operation Management at Domestic, Commercial & Industrial Building di Hotel Pullman Miri pada Rabu.

Susulan itu, ujar Khirudin lagi, penganjuran program ini akan dapat menerangkan peranan setiap agensi dalam keselamatan pengoperasian gas di Sarawak bagi membantu pengusaha dan pihak berkuasa tempatan berdasarkan kepada Gas Supply Act 1993 & Regulations 1997 selain MS 830 (LPG Storage) dan MS 930 (Piping).

“Ia adalah bagi memastikan keselamatan orang awam agar tidak terjejas akibat aktiviti pembekalan gas berpaip di setiap pepasangan gas sama ada dalam sektor domestik, komersial ataupun industri,” ujarnya. 

Sementara itu, Pengurus Besar Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Kiddney Enau dalam ucapannya berkata pihaknya sangat mementingkan aspek keselamatan sebagai keutamaan selain kesihatan dan alam sekitar dalam industri gas ini.

Katanya, gas dapat memusnahkan nyawa jika tidak diuruskan dengan selamat. 

“Selaras dengan Ordinan Pengedaran Gas 2016 dan seiring perkembangan akses gas untuk keperluan domestik di luar jejak di Miri dan Bintulu adalah amat penting untuk pertemuan penting secara asasnya disandarkan kepada keutamaan nombor satu kami iaitu keselamatan,” katanya. 

Hadir sama Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Setiausaha Tetap, Kementerian Utiliti Sarawak Dato Ir Alice Jawan Empaling dan Datuk Bandar Miri, Majlis Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang. -EDISI UKAS