Speaker DUN Sarawak Hadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen & DUN Seluruh Malaysia 2021

KHAMIS, 12 OGOS 2021

KUCHING: Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar telah menghadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Malaysia 2021 pada Isnin.

Majlis perasmian persidangan telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang yang juga dianjurkan oleh DUN Pahang selaku tuan rumah pada kali ini.

Persidangan sehari yang diadakan secara tertutup tersebut diaktifkan semula oleh Parlimen Malaysia selepas kali terakhir diadakan pada 2017.

Ia bertujuan mengeratkan hubungan antara Parlimen dan DUN menjadi wadah perkongsian pengetahuan dan percambahan idea sekaligus meningkatkan keupayaan dalam pengendalian Dewan Perundangan masing-masing agar lebih efektif dan berwibawa.

Dalam pada itu, tiga kertas kerja telah dibentangkan pada persidangan iaitu Pengurusan Persidangan Parlimen Ketika Pandemik COVID-19, Usaha-Usaha Memberdaya Institusi Dewan Undangan Negeri dan Konsep dan Amalan Demokrasi Berparlimen di Malaysia – Analisis Peruntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Turut hadir menerusi aplikasi webex ialah Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato Gerawat Gala, Setiausaha DUN Sarawak, Pele Peter Tinggom dan Speaker-speaker DUN dari seluruh negara.

Persidangan seterusnya juga telah ditetapkan dan bakal dianjurkan oleh DUN Kedah pada tahun 2022. –EDISI UKAS