ADUN Jemoreng Turun Padang Serah Tapak Projek Bina Benteng Hakisan Pantai Kuala Matu

JUMAAT, 13 OGOS 2021

MATU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya turun padang menyempurnakan penyerahan tapak projek pembinaan benteng hakisan Pantai Kuala Matu pada Khamis.

Beliau memaklumkan tujuan utama projek ini dilaksanakan adalah untuk mengelak hakisan berterusan di Pantai Kuala Matu yang semakin terhakis akibat ombak terutama pada musim tengkujuh.

“Projek bernilai RM7.07 juta tersebut telah mula dilaksanakan, dijangka siap pada 11 Ogos 2022 dan akan memberikan manfaat kepada para peniaga kawasan itu sekaligus bakal menjadi daya tarikan pengunjung,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Dr Juanda Jaya melawat ke sekitar Masjid Daerah Matu bagi meninjau cadangan menambah fasiliti di kawasan tersebut.

Antara cadangan yang dikemukakan adalah membina gerbang di pintu masuk utama masjid, pagar, gelanggang futsal dan astaka, gelanggang ‘street soccer’ termasuk lapangan untuk aktiviti memanah.

“Projek ini nanti secara tidak langsung akan memberikan kemudahan untuk beribadah sambil beriadah dengan lokasi strategik Pasar Matu Baru yang terletak di seberang masjid,” tambah beliau. –EDISI UKAS