Dato Sri Rohani Sumbang Bantuan Kewangan Kepada Pelajar Lanjut Pengajian Ke IPT

JUMAAT, 13 OGOS 2021

PUSA: Seramai lapan pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerima bantuan pendidikan sumbangan Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim.

Sumbangan diserahkan oleh wakil Dato Sri Rohani, Kaunselor Dato Lim Kian Choon bertempat di Pejabat Daerah Pusa pada pada Khamis.

Program yang turut disertai Pemangku Pegawai Daerah Pusa, Bujang Ladi diselitkan dengan penyerahan Khairat Kematian.

Penerima bantuan dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada Pusat Khidmat Batang Lupar khususnya kepada Dato Sri Rohani di atas sumbangan berkenaan.

Terdahulu, Bujang menyampaikan sumbangan bakul makanan untuk membantu klien Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Daerah Pusa yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia diadakan sempena Program Bakul Makanan ‘Sikit Sama Dirasa, Banyak Sama Dikongsi’ OSC Mids Daerah Pusa 2021.

Sumbangan itu bertujuan memberi semangat dan sokongan moral kepada klien bahawa mereka masih dihargai dalam komuniti dan tidak diabaikan.

Pada masa sama, ia juga bertujuan memupuk nilai-nilai murni serta merapatkan hubungan antara OSC Daerah Pusa dan klien AADK di Daerah Pusa untuk sama-sama berganding bahu menangani pandemik Covid-19 sekaligus membolehkan ahli OSC mengenali klien mereka.

Terdapat 15 orang penerima yang layak menerima bantuan berkenaan daripada Kampung Pusa, Beladin dan Maludam. – EDISI UKAS