JUMAAT, 13 OGOS 2021
LAWAS: Semasa pandemik COVID-19 ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak telah menyalurkan pelbagai jenis pakej bantuan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bantuan ini bagi membantu rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19.
“Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi peruntukan lebih daripada RM284.5 bilion untuk membantu orang yang terjejas.
“Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg juga telah melancarkan 7 pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) untuk membantu setiap lapisan masyarakat yang terjejas di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Kempen Sambutan Bulan Kemerdekaan, Penyampaian Bantuan Makanan Pengakap Zon Utara, Simbolik Penyerahan Cek Pampasan Projek Baru Jambatan Kuala Lawas dan Penyerahan Kelulusan Projek RTP Kawasan Kuala Lawas di Perkarangan Masjid Datuk Pengiran Matusin Kampung Dato Kuala Lawas pada Khamis.
Tambahnya lagi, bantuan BKSS ini meliputi pemberian one-off kepada penjaja berlesen, penambang, pemandu teksi, premis kerajaan dan GLC kerajaan diberikan potongan sewaan 50 peratus diskaun, diskaun bekalan elektrik dan air serta membantu perusahaan kecil dan sederhana.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak memberitahu Kerajaan Sarawak juga menyediakan pinjaman Mikro Kredit menerusi Bank Agro sehingga RM50,000 kepada peniaga yang terjejas dengan faedahnya ditanggung Kerajaan Sarawak.
“Kerajaan Sarawak telah memberi peruntukan dua kali kepada Bank Agro dengan jumlah peruntukan sekarang sebanyak RM100 juta.
“Ini merupakan pinjaman mudah dengan jumlah maksimum sebanyak RM50,000.
“Mereka yang layak meminjam adalah daripada kalangan B40 yang mempunyai perniagaan dengan peluang memohon masih terbuka sehingga hujung tahun ini,” ujarnya.
Kerajaan Sarawak juga telah memperuntukan RM84 juta bagi menanggung apa juga faedah yang dikenakan termasuk program mikro kredit ini.
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak telah memperuntukan hampir RM40 juta dalam pemberian bakul makanan di bawah BKSS 6.0 baru-baru ini.
Pada majlis itu, Datuk Amar Awang Tengah turut menyampaikan 33 cek pampasan yang jumlah keseluruhannya berjumlah RM1.3 juta untuk melaksanakan Projek Jambatan Kuala Lawas ini.
Turut sama diadakan ialah pelancaran Kibar Jalur Gemilang bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia yang juga Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak Dato Mohamad Safri Abdillah.