JUMAAT, 13 OGOS 2021
BELAGA: Seramai 124 penerima terdiri daripada JKKK, Persatuan, PIBG dan rumah ibadat di kawasan Belaga menerima cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dari ADUN Belaga, Datuk Liwan Lagang berjumlah keseluruhan RM2,132,500.
Penyerahan cek itu disempurnakan Datuk Liwan yang juga Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar) Sarawak kepada wakil semua penerima, Temenggong Ajang Sirek bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Belaga pada Jumaat.
Datuk Liwan dalam pada itu menasihati penerima geran menggunakan MRP ini untuk kebaikan dan membawa manfaat kepada penduduk-penduduk di bawah jagaan masing-masing.
Katanya, JKKK juga disarankan supaya memaklumkan kepada orang di bawah jagaan mereka bagaimana peruntukan tersebut digunakan.
Beliau turut mengingatkan supaya semua penduduk kampung dan rumah panjang agar sentiasa berjaga-jaga dan tidak ambil mudah ancaman pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, Datuk Liwan mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama cukup baik kepada Pejabat Daerah Belaga sepanjang melaksanakan Program Bantuan Bakul Makanan.
Begitu juga mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang amat baik diberikan pihak KPD dan Polis sepanjang melaksanakan Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk menjaga pergerakan keluar masuk ke daerah itu.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak Michael Mujah Lihan, Pegawai Daerah Belaga Juan Ubit, Ketua Polis Daerah Belaga DSP Brodie Brangka dan Pegawai Pendidikan Daerah Belaga Jalong Wan. – EDISI UKAS