SABTU, 14 OGOS 2021
SIMUNJAN: Seramai 100 orang yang memerlukan daripada 13 buah kampung bagi Zon Temiang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan menerima bekalan makanan dalam program Misi Penghantaran Bekalan Makanan Asas Tambahan pada Sabtu.
Simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh pihak penganjur iaitu Kuching Food Aid kepada wakil penerima iaitu Penghulu Jubin Sili dan disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris bertempat di Rumah Rehat Sri Simunjan.
Menurut penyelaras program tersebut, Maria Mohd, pek makanan tersebut telah diserah kepada wakil penduduk kampung dan senarai penerima yang dipilih adalah daripada Ketua Kampung dan Ketua Kaum masing-masing.
Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Sungai Jong, Kampung Sual, Kampung Pentik, Kampung Sekendu, Kampung Temiang, Kampung Melanjok, Kampung Gunung Ngeli, Kampung Simunjan Jaya, Kampung Batu Mumong, Kampung Sungai Lingkau, Kampung Tebuan, Kampung Mengeli dan Kampung Emplas.
Sementara itu, Awla berkata penyampaian bekalan makanan ini sememangnya sangat bersesuaian dengan keperluan rakyat pada masa kini yang menjalani tempoh Pelan Pemulihan Negara kerana sudah semestinya ada di antara mereka yang turut terkesan dan terjejas.
Sehubungan dengan itu, beliau mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana telah menganjurkan program seumpama itu.
Katanya, dengan bantuan itu sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung oleh penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau turut berharap program seumpama itu diteruskan lagi pada masa akan datang serta dapat diperluaskan lagi ke kawasan-kawasan lain dalam DUN Simunjan.-EDISI UKAS