Tema Malaysia Prihatin Selaras Komitmen Kerajaan Bantu Rakyat Berdepan Krisis COVID-19

SABTU, 14 OGOS 2021

LIMBANG: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyifatkan tema Hari Kebangsaan 2021, Malaysia Prihatin sinonim dengan budaya kerajaan membantu rakyat berdepan krisis pandemik COVID-19.

Ujarnya, kerajaan telah mewujudkan beberapa pendekatan dan inisiatif selain Kerajaan Sarawak juga membelanjakan dana sebanyak RM5.3 bilion demi kebajikan dan kepentingan rakyatnya.

“Tema Malaysia Prihatin adalah menjadi budaya kita untuk membantu rakyat yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

“Dasar yang telah diwujudkan kerajaan pada masa ini adalah membantu rakyat berdepan dengan situasi getir.

“Bagi Kerajaan Sarawak, kita telah membelanjakan dana kerajaan sendiri berjumlah RM5.3 bilion untuk membantu rakyat termasuk bantuan makanan, membantu perniagaan kecil dan sederhana, syarikat perniagaan dan bantuan kewangan kepada golongan B40,” katanya ketika sidang media dalam lawatan kerja ke Limbang pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Menteri sekali lagi mengulangi pendirian Kerajaan Sarawak untuk memberi fokus kepada usaha menangani pandemik COVID-19 daripada politik khususnya berkenaan pilihan raya.

“Apa yang penting sekarang ialah kesihatan rakyat.

“Oleh yang demikian, untuk peringkat negeri Sarawak yang penting bagi saya ialah menangani wabak COVID-19,” tegasnya. -EDISI UKAS