Satu Pasukan Indikator Ditubuhkan Cari Jalan Siapkan Projek LPB Tahun Depan

ISNIN, 16 OGOS 2021

MIRI: Sesi Libut Urus Bersama Kontraktor dan Perunding WPC Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) diadakan sebagai komitmen semua pihak untuk memastikan projek ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin, memenuhi kualiti standard dan juga masa yang ditetapkan. 

Menteri Kanan Kerja Raya Malaysia Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, mengikut perjanjian projek LPB ini mesti disiapkan pada September 2022. 

“Secara realistiknya disebabkan pandemik COVID-19 dan semua cabaran tadi, saya melihat dan menganalisa ada sebahagian daripada projek ini tidak dapat disiapkan pada September tahun depan. 

“Hari ini (Ahad) kita merumuskan bahawa perlu ada pasukan indikator daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Perunding Pengurusan Projek (PMC), konsultan dan kontraktor cari jalan bagaimana kita nak pastikan projek ini dapat disiapkan tahun depan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media “Sesi Libut Urus Bersama Kontraktor dan Perunding WPC Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak” di Hotel Pullman pada Ahad. 

Ujarnya lagi, kerajaan tidak mahu projek ini dipanjangkan lagi tempoh masanya hingga ke 2023. 

Dalam perkembangan berkaitan, Dato’ Sri Fadillah memaklumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang dalam proses mencari kaedah sesuai bagi membolehkan pengguna menyalurkan aduan berkaitan pembinaan LPB ini. 

“Kita menyarankan supaya akan ada satu proses atau kaedah bagaimana orang ramai boleh membuat aduan terus kepada JKR Sarawak atau Kementerian Kerja Raya (KKR). 

“Apa sahaja cadangan dan aduan mereka (orang ramai) daripada media sosial akan memberi maklum balas kepada KKR supaya kita boleh mengambil tindakan dan perhatian apa sahaja cadangan atau aduan oleh pengguna jalan raya.

“Ini akan memberi input kepada kontraktor supaya kita akan dapat melaksanakan projek ini dengan lebih baik dan memastikan keselamatan pengguna dapat dijaga dan dipelihara,” ujarnya. 

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Pengurus Zon Utara Unit Lebuhraya Pan Borneo, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Ir Siaw Ming Chian, Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan Kementerian Kerja Raya Malaysia Dato’ Zahrul Hakim Abdullah dan Ketua Projek Unit Lebuhraya Pan Borneo, JKR Sarawak Sudin Jaya.-EDISI UKAS