SELASA, 17 OGOS 2021
MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri komited memastikan semua penduduk di Bahagian Miri menerima imunisasi COVID-19.
Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan medianya pada Isnin selepas mempengerusikan mesyuarat JPBB Miri berkata, penubuhan taskforce merupakan langkah proaktif yang dilaksanakan JPBB Miri bagi memastikan semua penduduk Bahagian Miri yang berkelayakan menerima vaksin COVID-19.
“Kita telah menubuhkan taskforce di setiap daerah yang antaranya untuk mengesan penduduk yang berumur 18 tahun dan ke atas bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
“Selain menjadikan taskforce ini sebagai usaha berterusan untuk mengesan, mendidik serta memastikan masyarakat Penan di pedalaman Miri khususnya agar bersetuju menerima imunisasi COVID-19,” katanya.
Dalam mesyuarat berasingan bersama sektor perbankan di Bandaraya Miri pada Ahad, Datuk Lee yang Menteri Pengangkutan meminta 8 buah bank di Bahagian Miri mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah barisan yang panjang selain menambahbaik perkhidmatan masing-masing dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Kita telah berbincang dengan 8 buah bank supaya mencari jalan bagi mengurangkan barisan yang panjang serta mekanisme yang bersesuaian bagi menangani masalah tersebut.
“Pihak bank di Miri memberi jaminan akan menambahbaik urusan perkhidmatan perbankan masing-masing selain memastikan aspek seperti penjarakan fizikal dipatuhi dengan ketat,” ujarnya.
Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri Jamalie Busri, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Miri Kapten (PA) Usman Harto serta jabatan dan agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri.-EDISI UKAS