Program Community Engagement Perkasa Peranan Pemimpin Akar Umbi

SELASA, 17 OGOS 2021

DARO: Penganjuran Program Community Engagement amat penting dalam memperkasa dan memantapkan peranan pemimpin di peringkat akar umbi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, program itu juga platform penting dalam menyampaikan pelbagai maklumat kepada masyarakat mengenai usaha dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat.

“Program Community Engagement ini banyak melibatkan perkongsian maklumat yang penting terutama berkaitan dasar, usaha dan bantuan yang kerajaan umumkan.

“Ini perlu difahami oleh masyaraat khususnya penduduk di kampung kerana seperti yang kita lihat, BKSS 1 hingga 7 memang berpaksikan rakyat. Ini perlu diperjelaskan supaya rakyat faham.

“Sebagai pemimpin peringkat kampung perlu memastikan tiada satu pun rakyat yang layak tercicir dari menerima bantuan kebajikan yang kerajaan laksanakan,” katanya kepada UKAS dalam Program Community Engagement Daerah Daro Siri 2/2021 yang diadakan di Dewan Kemas Daro pada Isnin.

Dalam pada itu, Safiee turut menyarankan agar semua Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK), pertubuhan dan badan-badan di kampung bersatu menjadikan usaha memerangi penularan Covid-19 sebagai agenda utama.

Katanya, ia dilihat dapat membantu usaha kerajaan dari peringkat atasan hingga peringkat jawatankuasa dan kampung dalam memberi kesedaran kepada rakyat dan menyalurkan bantuan yang diperlukan.

“Saya melihat ini amat sesuai dengan matlamat penubuhan sesebuah jawatankuasa, pertubuhan atau badan kebajikan yang ada di kampung mahupun di daerah,” tambahnya.

Dalam majlis sama, Safiee turut menyampaikan Baucar Bantuan Pakaian Seragam Sekolah sumbangan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Sarawak bernilai RM55,000 kepada 13 sekolah di bawah pentadbiran DUN Daro.

Turut diserahkan sumbangan kepada Jawatankuasa Masjid Al Amin, Kampung Semop yang terlibat dalam insiden kebakaran baru-baru ini.

Beliau turut mengumumkan sumbangan MRP kepada Jawatankuasa Bencana Daerah Daro sebanyak RM10,000 sebagai sokongan untuk melaksanakan beberapa langkah dalam memastikan penduduk kampung divaksin. – EDISI UKAS