ADUN Senadin Tunai Janji Turap Semula Jalan Di Taman Happy Riam

RABU, 18 OGOS 2021

MIRI: Semua jalan di Taman Happy Riam telah siap dibaiki di bawah Projek Penyelenggaraan Khas Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) 2021. 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, Projek Penurapan Semula Jalan Taman Happy ini telah siap sepenuhnya pada Jun 2021 dengan panjang keseluruhan yang diturup ialah 730 meter membabitkan keseluruhan peruntukan RM203,148.49.

“Kerja-kerja penurapan ini merupakan permintaan daripada penduduk tempatan pada tahun lepas. 

“Kini saya telah menepati janji dengan memenuhi permohonan mereka supaya dapat menikmati jalan raya yang lebih baik,” katanya semasa ditemui selepas meninjau beberapa jalan raya yang telah siap dinaik taraf termasuk penurapan semula Jalan Happy, Jalan Happy 2 & 2a, Jalan Happy 3, Jalan Happy 4 dan Jalan Happy 5 Riam Miri pada Selasa. 

Sementara itu, Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin meminta Majllis Bandaraya Miri (MBM) memasukkan cadangan menaik taraf sistem perparitan yang lebih sempurna ke dalam rancangan pembangunan tahun 2022 agar dapat menyelesaikan masalah banjir kilat ketika hujan lebat di kawasan terbabit.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Projek Penurapan Semula Taman Jalan Tung San sepanjang 260 meter telah diluluskan dan kerja-kerja penurapan akan dimulakan pada bulan September tahun ini.

Turut dimaklumkan, projek penurapan semula di Taman Futee Shophouse telah diluluskan dalam Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin dan akan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini. 

Turut sama hadir Kapitan Jee Kee Hiong, Ahli MBM Jeffrey Phang dan Kueh Chie Tiong, Penolong Jurutera Kanan Majlis Bandaraya Miri Danel Chen, Penolong Jurutera MBM Peter Ukin dan Kong Siew Chin.-EDISI UKAS