KHAMIS, 19 OGOS 2021
SIBU: Kepimpinan kerajaan negeri mengenepikan soal politik dalam usaha menjaga kebajikan dan kepentingan rakyatnya dengan keadaan pandemik COVID-19 yang belaku pada masa ini.
Menyifatkan krisis politik yang belaku di peringkat persekutuan tidak begitu mempengaruhi keadaan di Sarawak, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat UKAS Abdullah Saidol berkata, politik Sarawak lebih tenang malah mewujudkan pelbagai bantuan untuk rakyat.
“Keadaan ini tidak sangat mempengaruhi kita di Sarawak kerana kita tidak ada masalah berebut kerusi (politik).
“Kepimpinan kita begitu fokus sekali dalam keadaan kita tertekan oleh pandemik COVID-19 untuk memberi sepenuh perihatian kepada kebajikan rakyat dan kita menyalurkan berbagai bantuan sehingga tujuh pakej yang bernilai lebih RM5 bilion.
“Ketua Menteri juga mengarahkan semua wakil rakyat memastikan bantuan ini disalur dan disampaikan dengan baik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab media berkenaan krisis politik yang belaku di peringkat persekutuan dan kesannya kepada Sarawak.
Terdahulu beliau telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Think And Tinker (TNT) Mini Lab 2021 di Sibu, pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, wakil rakyat kepimpinan negeri juga lebih memberi perhatian kepada pelaksanaan projek rakyat yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jadi apa yang belaku di peringkat persekutuan biarlah mereka sendiri yang uruskan.
“Bukan bermakna kita tidak mempedulikan apa yang belaku kerana kita sebahagian daripada entiti yang menubuhkan negara ini.
“Dalam masa yang sama kita juga berasa kecewa dan tekilan kerana sepatutnya kepimpinan di sana lebih memberi tumpuan kepada isu dan kebajikan masyarakat dalam keadaan sekarang,” ujarnya.
Abdullah turut berharap tampuk kepimpinan persekutuan baharu nanti dapat memberi keutamaan kepada pemulihan ekonomi dan kebajikan sereta kepentingan rakyat.
Sementara itu, berkenaan Think And Tinker (TNT) Mini Lab, Abdullah yang juga Setiausaha Lembaga Amanah TEGAS menjelaskan ia adalah sebahagian daripada inisiatif Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) untuk menggalak inovasi dan digital di peringkat sekolah.
“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif TEGAS di seluruh negeri Sarawak untuk menggalak inovasi di peringkat sekolah dan menarik minat pelajar ke arah pendidikan, bukan sahaja Technical Industrial Vocational and Entrepreneurship Training (TIVET) dan juga Sains dan Matematik termasuklah minat mereka kepada perkara-perkara berkaitan teknologi digital,” jelasnya.
Bermula pada 2021, terdapat 11 buah sekolah di seluruh Sarawak telah dipilih sebagai sekolah perintis untuk TEGAS T&T Mini Lab.
Antara sekolah yang terlibat adalah SMK Bako (Kuching),SMK Siburan (Padawan, SMK Balai Ringin (Sri Aman), SMK Ulu Layar (Betong), SMK Saribas (Betong), SK Agama Sarikei (Sarikei), SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah (Mukah), SMK Ulu Balingian (Mukah), SMK Kapit (Kapit), SK Long Bedian (Baram) dan SMK Mendamit (Limbang).
Beliau juga menambah, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha menyediakan infrastruktur telekomunikasi seluruh negeri Sarawak dengan perbelanjaan yang besar.
“Kerajaan negeri akan meneruskan inisiatif untuk menyediakan infrastruktur telekomunikasi di seluruh negeri Sarawak dengan perbelanjaan yang besar sebab negeri kita besar dan juga kawasan-kawasan di pedalaman khususnya.
“Kita harus berkerjasama dengan Sarawak Multimeda Authority (SMA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam pembinaan infrastruktur ini,” katanya. -EDISI UKAS