JPBB Miri Perketatkan Pergerakan Rentas Daerah

JUMAAT, 20 OGOS 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah memperketatkan pergerakan rentas daerah sejajar dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 Sarawak.

Dalam kenyataan media pada Khamis, JPBB Miri telah berbincang dengan teliti mengenai pergerakan antara daerah-daerah dalam Bahagian Miri dan menggariskan syarat-syarat yang perlu dipatuhi penduduk untuk kelulusan pemohonan permit rentas daerah.

Keputusan itu diambil bagi meletakkan Bahagian Miri dalam keadaan berjaga-jaga, kekal waspada dan tidak leka dengan situasi sekarang selain mengekang penularan COVID-19.

Antara kategori SOP Pergerakan Rentas Daerah Bahagian Miri yang telah diluluskan JPBB Miri dan perlu dipatuhi ialah situasi kecemasan, temu janji di fasiliti kesihatan, vaksinasi, perkhidmatan penting, ziarah keluarga dan lain-lain yang dirasakan penting. 

Bagaimanapun, kesemua kategori ini perlu disertakan dokumen terutama vaksinasi lengkap dua dos kecuali bagi hal situasi kecemasan. 

Sementara itu, dua kategori rentas daerah yang tidak diluluskan adalah melibatkan urusan peribadi seperti melawat ahli keluarga luas, menghadiri perjumpaan keluarga, menyambut perayaan, memburu atau sabung ayam dan berkhemah atau mendaki. 

Begitu juga dengan aktiviti sosial seperti kenduri kendara, majlis pernikahan dan perkahwinan, resepsi, akikah, doa selamat, tahli atau ngetas ulit, sambutan ulang tahun, sambut hari kelahiran, perjumpaan kawan-kawan dan lain-lain majlis sosial tidak dibenarkan. 

Sehubungan itu, JPBB Miri mengingatkan orang ramai untuk terus kekal waspada dan sentiasa mematuhi aspek SOP COVID-19 secara ketat. 

Manakala, individu yang sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19, masih perlu berhati-hati dan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan. 

Turut sama hadir dalam mesyuarat itu Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin, Pemangku Residen Bahagian Miri Jamalie Busri, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu serta jabatan dan agensi di bawah JPBB Miri.-EDISI UKAS