PKPD: 2,450 KIR Di Taman Samarindah Terima Bantuan Bekalan Makanan

JUMAAT, 20 OGOS 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai 2,450 Ketua Isi Rumah (KIR) di Taman Samarindah di sini menerima bantuan bekalan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Samarahan pada Khamis.

Simbolik penyerahan bantuan disampaikan oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Mohammad Yaakob Morshidi, Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Da’an dan Pemangku Residen Bahagian Samarahan, Hasanal Abdul Wahid kepada wakil-wakil penduduk Taman Samarindah.

Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Samarahan itu disalurkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Da’an ketika ditemubual berkata, bantuan bekalan makanan ini melibatkan seramai hampir 12,000 penduduk Taman Samarindah khususnya di Lorong 1 sehingga 27.

Katanya, beliau berharap bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk dalam menghadapi PKPD.

Sementara itu, Pemangku Residen Bahagian Samarahan, Hasanal Abdul Wahid menasihatkan penduduk agar sentiasa berdisiplin dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerana beliau tidak mahu PKPD di Taman Samarindah dilanjutkan dan berharap ianya dapat ditamatkan awal.

Mengulas lanjut, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Mohammad Yaakob Morshidi memaklumkan pengagihan bantuan bekalan makanan tersebut akan dilaksanakan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Samarahan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Samarahan dibantu Jawatankuasa Persatuan Taman Samarindah untuk diagihkan ke setiap rumah.

Penduduk Taman Samarindah telah menjalani PKPD pada hari ketiga sejak 17 Ogos lepas. -EDISI UKAS