ADUN Senadin Serah Geran RM10,000 Kepada PIBG SMK Merbau Miri

SABTU, 21 OGOS 2021

MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin telah mengadakan lawatan dan menyerahkan geran tahunan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Merbau Miri.

Geran tahunan ini bertujuan membantu pihak sekolah dalam menaik taraf kemudahan infrastruktur pembelajaran dan pengajaran “Smart Board” khususnya bagi pelajar-pelajar Tingkatan 6 secara fizikal dan maya.

Menurut Pengerusi PIBG SMK Merbau Dr Maurice Utap, alat bantu mengajar ‘Smart Board’ ini amat diperlukan untuk membantu dalam pelajar Tingkatan 6 sejajar dengan perkembangan teknologi terutamanya pada masa pandemik COVID-19 ini.

“Pada tahun 2020, pihak sekolah telah menggunakan kaedah pembelajaran ‘Smart Board’ agar pelajar yang terkandas semasa kemelut COVID-19 boleh menyertai sesi pengajaran dan pembelajaran. 

“Walaupun tidak dapat hadir ke kelas secara fizikal, pelajar tersebut mampu menjalankan pembentangan kerja kursus dan pembelajaran jarak jauh.

“Dengan adanya alat bantu mengajar ini, semua pelajar tidak akan tercicir dalam proses pembelajaran khususnya dalam kemelut pandemik ini,” katanya semasa ditemui pada Jumaat. 

Selepas itu, Datuk Lee telah dibawa meninjau kerja-kerja pemasangan jubin dan diberikan sedikit taklimat berkenaan pencapaian akademik pelajar Tingkatan 6 SMK Merbau. 

SMK Merbau telah mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang terbaik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bagi tempoh empat tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 2017 (PNGK 3.02), 2018 (PNGK 3.07), 2019 (PNGK 3.08) dan 2020 (PNGK 3.09) dan merupakan pencapaian terbaik di Daerah Miri.

Selain itu, peratusan pelajar STPM SMK Merbau yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam juga menunjukkan trend peningkatan iaitu pada tahun 2018 sebanyak 73.33 peratus, tahun 2019 sebanyak 82.98 peratus dan tahun 2020 sebanyak 92.86 peratus. 

Turut hadir Pengetua SMK Merbau, Jumari Hashim, guru-guru dan dua orang pelajar terbaik STPM 2020.-EDISI UKAS