PKPD: Seramai 991 KIR Kampung Baru Terima Bantuan Makanan

AHAD, 22 OGOS 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai 991 Ketua Isi Rumah (KIR) yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Baru di sini menerima bantuan beras dan makanan kering bagi fasa kedua dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Samarahan pada Sabtu.

Bantuan bekalan makanan tersebut diagihkan oleh sukarelawan-sukarelawan JKM Bahagian Samarahan dengan bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Samarahan.

Sementara itu, Penghulu Kampung Baru, Sunip Adis merakamkan penghargaan kepada JKM Bahagian Samarahan kerana begitu prihatin dengan situasi yang dihadapi mereka.

Katanya, sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka semasa menjalani tempoh pelaksanaan PKPD.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Mohammed Yaakob Morshidi pula berharap bantuan berkenaan dapat membantu memenuhi keperluan penduduk yang berdepan PKPD.

Beliau juga menyeru penduduk agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan PKPD. -EDISI UKAS