AHAD, 22 OGOS 2021
MARUDI: Orang ramai di Daerah Marudi diingatkan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.
Justeru, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Daerah Marudi Lawrence Jaba David mengingatkan penduduk di Daerah Marudi ini supaya tidak leka dengan penularan COVID-19 ini.
“Pastikan setiap SOP dipatuhi terutama apabila keluar dari rumah dan pergi ke kawasan yang dipenuhi orang ramai.
“Guna pelitup muka, pakai pembersih tangan dan sukat suhu badan setiap kali memasuki premis serta imbas kod QR MySejahera atau menulis buku kehadiran dengan data yang lengkap,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan Pemantauan Pematuhan SOP COVID-19 di Pekan Marudi pada Sabtu.
Selain Pasar Tamu Marudi, turut diperiksa premis-premis perniagaan yang ada di sekitar Pekan Marudi.
Tambah Lawrence Jaba lagi, walaupun Daerah Marudi tiada kes positif sejak beberapa minggu ini namun itu bukan alasan bagi penduduk untuk mengabaikan peranan dan tanggungjawab mereka dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Tiada kompaun dikeluarkan dalam pemantauan ini dan setiap pemilik premis dan penduduk mematuhi SOP yang ditetapkan.-EDISI UKAS