ISNIN, 23 OGOS 2021
BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malayaia) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot tunda pada jarak lebih kurang 1.9 batu nautika daripada Muara Sungai Kemena, Bintulu pada Ahad.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil dalam kenyataan media berkata, semasa rutin rondaan sedang berjalan, didapati terdapat sebuah bot tunda yang mencurigakan lalu ditahan bagi tujuan penggeladahan dan pemeriksaan.
“Hasil dari penggeladahan dan pemeriksaan didapati bot tunda tersebut telah menggunakan lesen perkapalan yang telah tamat tempoh sah.
“Selain itu seramai tiga orang kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia yang berusia dalam lingkungan 37 hingga 53 tahun ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan yang sah,” katanya.
Tambah Effendy lagi, berdasarkan rekod bot tunda ini pernah ditahan dan dikompaun sebelum ini kerana melakukan kesalahan yang sama pada tahun 2020.
“Sekali lagi bot tunda ini telah melakukan kesalahan yang sama dan berulang.
“Bot tunda dan semua kru ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat.
“Kes ini telah disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi menggunakan lesen perkapalan yang telah tamat tempoh dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM 10 ribu atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.-EDISI UKAS