Kelayakan Permohonan Program S-MM2H Masih Kekal

SELASA, 24 OGOS 2021

KUCHING: Kelayakan bagi permohonan Program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) kepada warga asing seperti yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini masih kekal.

Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program S-MM2H itu bertujuan menarik minat para pemohon menikmati hospitaliti di Sarawak.

“Sarawak masih mengekalkan kelayakan yang sama bagi program S-MM2H dan perubahan yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk berkuatkuasa mulai Oktober 2021 tidak mempengaruhi keputusan ini,” katanya ketika sidang media di Baitulmakmur 2 pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Datuk Abdul Karim menambah antara kriteria S-MM2H adalah setiap pemohon mesti memiliki deposit tetap sebanyak RM150,000 untuk individu manakala RM300,000 bagi pasangan.

Jelasnya lagi, syarat untuk melabur dalam hartanah khusus untuk tujuan kediaman dengan jumlah sekurang-kurangnya RM600,000 bagi pemohon yang berumur antara 40 hingga 50 tahun .

Manakala bagi pemohon yang berumur 30 tahun ke atas boleh dipertimbangkan sekiranya mereka menemani anak yang belajar di Sarawak atau mendapatkan rawatan perubatan jangka panjang di sini.

Bagi pemohon yang ingin mendapatkan keterangan lebih lanjut boleh melawat ke laman web mtac.sarawak.gov.my. –EDISI UKAS