SELASA, 24 OGOS 2021
LIMBANG: Tahniah dan syabas kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Limbang di atas penganjuran Program #KitaBersama RTCares ini.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, bantuan makanan seperti ini dapat meringankan beban penduduk yang terkesan akibat penularan COVID-19.
“Kita di daerah Limbang ini walaupun ada yang terkesan tetapi tidaklah terkesan sangat.
“Walau bagaimanapun, kita terus membantu daripada pelbagai pihak, persatuan dan hari ini daripada KRT Kawasan Bandar.
“Tahniah kepada KRT, mudah-mudahan bantuan ini dapat meringankan beban kita bersama,” katanya semasa berucap dalam Program #KitaBersama RTCares di Dewan Kampung Bunga Raya Limbang pada Isnin.
Sebanyak 54 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di daerah Limbang dengan setiap KRT mendapat 10 bakul makanan bernilai RM50 setiap satu untuk disampaikan kepada golongan yang memerlukan di kawasan masing-masing.
Antara mereka yang menerima bantuan RTCares ini adalah golongan B40 daripada semua kategori termasuk OKU, ibu tunggal, warga emas dan golongan rentan ekonomi yang terjejas pendapatan dan terputus bekalan makanan serta keperluan asas.
Sementara itu, Pegawai Perpaduan Bahagian Limbang Mohamad Fakri Asmad memberitahu prgram ini merupakan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan komuniti semasa pandemik COVID-19 melalui pemerkasaan tanggungjawab komuniti Rukun Tetangga.
“Program yang berteraskan konsep RT4ALL iaitu RT untuk semua golongan masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang melalui semangat kebersamaan dengan hashtag #KitaBersama selaras dengan agenda di bawah gerak kerja komuniti RT Sejahtera,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Program RTCares ini berkonsepkan ‘social outrech’ iaitu pendampingan sosial komuniti Rukun Tetangga melalui dua gerak iaitu Bantuan Kotak Makanan dan Barangan Keperluan Asas.
Agihan bantuan kotak makanan dan barangan keperluan asas kepada komuniti Rukun Tetangga yang terjejas dengan pandemik COVID-19 yang digerakkan oleh Sukarelawan Rukun Tetangga.
Ujarnya lagi, program RT Cares pula dapat memperkukuhkan tanggungjawab sosial Kementerian kepada komuniti khususnya komuniti Rukun Tetangga, meringankan beban atau kos sara hidup dan memastikan kesejahteraan rakyat, meningkatkan keprihatinan dan tanggungjawab bersama menangani isu komuniti yang terjejas dengan COVID-19 dan membantu mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (‘PICK).
Pada majlis itu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut menyempurnakan penyerahan bendera dan simbolik kibarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia 2021.
Ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Program #KitaBersama RTCares, Datuk Dr Abdul Rahman menyeru semua rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Malaysia yang baharu Dato Sri Ismail Sabri Yaakub.
“Sama-samalah kita memberikan sokongan sepenuhnya kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 untuk menerajui Malaysia ke arah yang lebih cemerlang dan gemilang serta dapat menangani krisis pandemik COVID-19 dan juga ekonomi Malaysia.
“Bagi saya, kita di Limbang menyokong penuh keputusan yang dibuat oleh kepimpinan Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyokong untuk menerajui Malaysia,” katanya.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Permuafakatan KRT Daerah Limbang Adinin Adol.-EDISI UKAS