RM60 Juta Bantu Pekebun Kecil Kelapa Sawit, Lada Di Sarawak

SELASA, 24 OGOS 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM60 juta untuk pelaksanaan Program Bantuan Baja kepada pekebun kecil kelapa sawit dan lada di seluruh negeri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, program tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 58,000 pekebun.

Bercakap semasa majlis pelancaran program tersebut di Kuching pada Selasa, beliau menambah, inisiatif kerajaan itu akan dilaksanakan secara berfasa dan bermula pada Oktober ini.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu menjelaskan setiap peserta akan menerima bantuan sebanyak 12 beg baja.

Pada majlis tersebut Datuk Amar Douglas Uggah turut menyampaikan cek sebanyak RM8 juta kepada Yayasan Kebudayaan Sarawak (DCF) bagi tujuan pembinaan bangunan pejabat DCF dan Dewan Perdagangan dan Industri Dayak (DCCI).-EDISI UKAS