23 KIR Dari Kampung Braang Bayur & Kampung Abang Terima Bantuan Makanan

RABU, 25 OGOS 2021

PADAWAN: Sebanyak 23 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 18 KIR dari Kampung Braang Bayur dan lima KIR dari Kampung Abang yang menjalani kuarantin di rumah menerima bantuan makanan.

Bantuan tersebut merupakan sumbangan Menteri Muda Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil.

Penyerahan sumbangan makanan itu dilakukan oleh wakil Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Mambong, Terence Tikok pada Selasa.

Menurut Terence, bantuan tersebut adalah bagi meringankan beban keluarga yang menjalani arahan kuarantin kendiri oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama tempoh 14 hari.

“Dengan adanya bantuan ini, ia serba sedikit dapat membantu dan meringankan beban mereka yang sukar untuk keluar mendapat bekalan makanan,” katanya.

Bantuan telah diserahkan kepada wakil penerima iaitu Ketua Kaum Kampung Braang dan Setiausaha JKK Kampung Abang.-EDISI UKAS