Bengkel Community Empowerment 2021 Aktifkan Peranan KMKK Tangani Ancaman Dadah

RABU, 25 OGOS 2021

SARIKEI: Seramai 30 orang Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Pejabat Daerah Sarikei menyertai Bengkel Community Empowerment 2021: Training of Trainers (T.O.T) Daerah Sarikei yang diadakan di Sarikei Innovation Center (SIC) pada Rabu.

Menurut Pegawai Daerah Sarikei merangkap Pengerusi One Stop Committee (OSC) MIDS Sarikei, Christoper Ranggau Unting, program kerjasama Pejabat Daerah Sarikei di bawah One Stop Committee (OSC) MIDS Bahagian Sarikei itu bertujuan mengaktifkan peranan pemimpin komuniti setempat dengan memberi pendedahan mengenai trend dan ancaman dadah yang perlu ditangani bersama.

Menurutnya, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran pemimpin komuniti untuk merangka strategi dan menyediakan pelan tindakan mengikut keperluan dan trend penyalahgunaan dadah semasa di kawasan masing-masing.

Tambah beliau, program itu juga memberi latihan dan teknik melibatkan ahli komuniti secara aktif dalam merancang, menggerak dan melaksanakan aktiviti dalam komuniti.

Sementara itu, Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarikei, Dalin Nani George berkata program tersebut bertujuan membantu masyarakat di peringkat akar umbi agar tidak menghadapi masalah sosial.

Turut menyampaikan taklimat dalam bengkel berkenaan wakil-wakil dari pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei dan PDRM Bahagian Sarikei. – EDISI UKAS